Program Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita Negeri Johor Tahun 2025
15 November 2025|Sabtu
Program sempena dengan Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita Negeri Johor Tahun 2025 telah dirasmikan oleh YBrs. Puan Hanani binti Sapit, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).
Inisiatif program ini, JPW juga telah berkolaborasi dengan pihak Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) mengambil pendekatan untuk bersatu tenaga bagi membanteras keganasan terhadap wanita. Dengan kehadiran seramai 250 orang peserta turut memberi sokongan kepada program ini yang memfokuskan pendedahan advokasi dan pendidikan kepada komuniti untuk meningkatkan kesedaran, memberi keberanian kepada wanita untuk bersuara, serta menyediakan ruang sokongan dan pemulihan yang selamat.
Jabatan Pembangunan Wanita turut menyahut seruan ini melalui pelbagai kempen dan program kesedaran sebagai komitmen berterusan semua untuk menegakkan keadilan dan melindungi maruah wanita di negara ini.
Dalam usaha menangani isu keganasan terhadap wanita, peranan ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Ahli Skuad Waja JPW amat penting sebagai agen perubahan di peringkat komuniti. Kedua-duanya berperanan besar sebagai mata dan telinga masyarakat, paling hampir dengan komuniti setempat dan mengetahui denyut nadi penduduk, memahami cabaran setempat, serta mampu menjadi saluran awal bagi mengesan tanda-tanda penderaan atau keganasan rumah tangga.
Komitmen KPWKM untuk menangani keganasan rumah tangga juga adalah jelas dan tidak berbelah bahagi malah, akan terus melaksanakan pelbagai program berbentuk pencegahan, perlindungan dan pemulihan, agar tiada siapa pun tercicir daripada sistem sokongan yang wujud.
Hadir bersama YBrs. Puan Hanani binti Sapit, Ketua Pengarah JPW, YDH ACP Sohaimi bin Ishak, Ketua Polis Daerah Seri Alam Johor, Puan Azura Shahira binti Azahar, Penolong Pegawai Daerah Negeri Johor serta Puan Izlin binti Idris, Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN) Johor.
Program Toleransi Sifar Keganasan Sandakan, Sabah
18 November|Selasa
Program Toleransi Sifar Keganasan Sandakan, Sabah telah dirasmikan oleh YBrs. Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Puan Hanani binti Sapit, dan berlangsung di sekitar hotel di Sandakan pada hari ini.
Penyertaan seramai 250 peserta menunjukkan komitmen bersama dalam mendokong kesejahteraan masyarakat serta mewujudkan persekitaran yang selamat dan harmoni.
KPWKM telah menggubal Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840], yang berkuat kuasa berperingkat sejak 28 Mac 2023, sebagai usaha meningkatkan pencegahan dan kesedaran mengenai isu gangguan seksual.
Selaras dengan Akta 840, Tribunal Antigangguan Seksual (TAGS) berfungsi sebagai saluran alternatif yang cepat, mudah dan berkos rendah. Sehingga 31 Oktober 2025, 60 aduan telah difailkan dan 44 daripadanya berjaya diselesaikan.
Program ini menampilkan ceramah advokasi oleh JPW, sesi pengenalan TAGS oleh Timbalan Presiden TAGS, perkongsian mengenai kesan psikososial oleh PDRM, serta aktiviti sampingan seperti persembahan, senaman ringan, pameran dan jualan usahawan wanita.
Melalui program ini, diharapkan semua pihak dapat membantu menyebarluaskan advokasi mengenai gangguan seksual bagi meningkatkan pencegahan dan kesedaran awam, sekali gus menghindari isu yang boleh membawa kepada keganasan terhadap wanita.
Hadir bersama YBrs. Puan Hanani binti Sapit, Ketua Pengarah JPW, Tuan Nasrudin bin Mohamed, Timbalan Presiden TAGS serta pegawai-pegawai kanan Kementerian, Jabatan dan Agensi.
Majlis Pengiktirafan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Rakan Strategik KPWKM Berprestasi Cemerlang
20 November 2025
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Penduduk Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah meraikan dan memberi pengiktirafan kepada NGO atas komitmen dan sumbangan mereka dalam memperkukuh agenda pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat pada Majlis Pengiktirafan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Rakan Strategik KPWKM Berprestasi Cemerlang yang telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam ucapannya berkata NGO memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial negara dengan menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan. Mereka membantu menyuarakan aspirasi dan keperluan komuniti serta memastikan tiada golongan yang terpinggir melalui semangat kesukarelaan, kecekapan dan keikhlasan.
Sebanyak 35 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah membantu dan memainkan peranan dalam menjayakan pelbagai inisiatif Kementerian telah menerima sijil penghargaan pada majlis ini.
KPWKM menghargai sumbangan besar NGO dalam memperkukuh jaringan perlindungan sosial negara. NGO berperanan sebagai rakan strategik kementerian dalam melaksanakan inisiatif kesejahteraan masyarakat, termasuk memperkasa wanita, menjaga kebajikan kanak-kanak, warga emas, OKU dan golongan rentan.
KPWKM sentiasa komited dalam memperkukuh hubungan strategik dengan NGO melalui pelbagai bentuk kolaborasi terutamanya dalam pelaksanaan program-program pembangunan komuniti dan pemerkasaan wanita.
Program Toleransi Sifar Keganasan Gegar Langkawi
24 November 2025
Usaha bagi menangani dan memberi kesedaran berkaitan isu gangguan seksual dan keganasan terhadap wanita tidak pernah berhenti. KPWKM melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) hari ini terus menyebar luas advokasi berkaitan gangguan seksual dan keganasan terhadap wanita kepada komuniti setempat di Langkawi.
Program dimulakan dengan sesi ceramah berkaitan Advokasi Antigangguan Seksual oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), diikuti Kenali Tribunal Antigangguan Seksual oleh Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) dan seterusnya ceramah Hentikan Keganasan Terhadap Wanita oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam majlis ini, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menyampaikan Notis Antigangguan Seksual kepada NGO dan rakan-rakan strategik KPWKM.
Beliau dalam ucapannya menegaskan bahawa gangguan seksual tidak boleh dianggap sebagai gurauan dan menyeru masyarakat untuk bersama-sama kementerian membendung kes gangguan seksual dan menghentikan keganasan terhadap wanita demi mewujudkan sebuah persekitaran yang selamat dan harmoni.
MESYUARAT MAJLIS WANITA, KELUARGA DAN NEGARA (MWKN)
24 November 2025|Isnin
Mesyuarat Majlis Wanita, Keluarga dan Negara (MWKN) hari ini telah dipengerusikan oleh YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Dengan pembentangan hala tuju, dasar serta strategi berkaitan pemerkasaan wanita dan pembangunan keluarga.
Mesyuarat ini merupakan platform strategik yang menghimpunkan pelbagai pihak bagi membincangkan isu-isu semasa, mengemukakan nasihat serta syor berkenaan agenda wanita dan keluarga. Ia memastikan setiap perkara berkepentingan didengari, diberi perhatian dan dibawa ke peringkat yang lebih tinggi demi kesejahteraan masyarakat.