RPW (ATIP)
Pengenalan
Perkhidmatan Rumah Perlindungan Wanita Anti Pemerdagangan Orang (RPW ATIP)
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merupakan peneraju Jawatankuasa Penjagaan dan Perlindungan Mangsa Pemerdagangan Orang (JPPMPO) di bawah Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO).
Fungsi JPPMPO adalah untuk melaksanakan peruntukan Bahagian V, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670], iaitu jagaan dan perlindungan orang yang diperdagangkan.
Oleh itu, KPWKM melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) telah mewujudkan Rumah Perlindungan Wanita (RPW) bagi penjagaan dan perlindungan mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan wanita.
Perkhidmatan yang dilaksanakan
a) Keperluan asas;
b) Rawatan (perubatan atau kaunseling);
c) Khidmat jurubahasa, sekiranya perlu;
d) Aktiviti harian; dan
e) Pengiringan ke sesi mahkamah.
f) Komunikasi bersama keluarga;
g) Permohonan Kebenaran Bergerak Bebas dan Kebenaran Bekerja, seperti peruntukan seksyen 51A Akta 670; dan
h) Elaun.
Proses Perkhidmatan
Mangsa pemerdagangan orang perlu memperoleh Perintah Perlindungan daripada mahkamah untuk dijaga dan dilindung di RPW, iaitu Perintah Perlindungan Interim (IPO) seperti peruntukan seksyen 44(1) Akta 670, Perintah Perlindungan (PO) seperti peruntukan seksyen 51(3) Akta 670 atau Perintah Jagaan dan Perlindungan Lanjut (PJPL) seperti peruntukan seksyen 54(3) Akta 670.
Sepanjang tempoh perlindungan tersebut, mangsa akan dijaga dan dilindung oleh Pegawai Pelindung di RPW. Bagi menjamin kualiti perkhidmatan penjagaan dan perlindungan, Pegawai Pelindung di RPW akan dilatih untuk menyampaikan perkhidmatan melalui pendekatan pemusatan mangsa (victim centered approach), pendekatan sensitif gender (gender sensitive approach) dan pendekatan termaklum trauma (trauma informed approach).