Program Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita Negeri Johor Tahun 2025
Program Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita Negeri Johor Tahun 2025
15 November 2025|Sabtu
Program sempena dengan Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita Negeri Johor Tahun 2025 telah dirasmikan oleh YBrs. Puan Hanani binti Sapit, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).
Inisiatif program ini, JPW juga telah berkolaborasi dengan pihak Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) mengambil pendekatan untuk bersatu tenaga bagi membanteras keganasan terhadap wanita. Dengan kehadiran seramai 250 orang peserta turut memberi sokongan kepada program ini yang memfokuskan pendedahan advokasi dan pendidikan kepada komuniti untuk meningkatkan kesedaran, memberi keberanian kepada wanita untuk bersuara, serta menyediakan ruang sokongan dan pemulihan yang selamat.
Jabatan Pembangunan Wanita turut menyahut seruan ini melalui pelbagai kempen dan program kesedaran sebagai komitmen berterusan semua untuk menegakkan keadilan dan melindungi maruah wanita di negara ini.
Dalam usaha menangani isu keganasan terhadap wanita, peranan ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Ahli Skuad Waja JPW amat penting sebagai agen perubahan di peringkat komuniti. Kedua-duanya berperanan besar sebagai mata dan telinga masyarakat, paling hampir dengan komuniti setempat dan mengetahui denyut nadi penduduk, memahami cabaran setempat, serta mampu menjadi saluran awal bagi mengesan tanda-tanda penderaan atau keganasan rumah tangga.
Komitmen KPWKM untuk menangani keganasan rumah tangga juga adalah jelas dan tidak berbelah bahagi malah, akan terus melaksanakan pelbagai program berbentuk pencegahan, perlindungan dan pemulihan, agar tiada siapa pun tercicir daripada sistem sokongan yang wujud.
Hadir bersama YBrs. Puan Hanani binti Sapit, Ketua Pengarah JPW, YDH ACP Sohaimi bin Ishak, Ketua Polis Daerah Seri Alam Johor, Puan Azura Shahira binti Azahar, Penolong Pegawai Daerah Negeri Johor serta Puan Izlin binti Idris, Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN) Johor.