Majlis Pengiktirafan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Rakan Strategik KPWKM Berprestasi Cemerlang

Majlis Pengiktirafan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Rakan Strategik KPWKM Berprestasi Cemerlang

20 November 2025

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Penduduk Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah meraikan dan memberi pengiktirafan kepada NGO atas komitmen dan sumbangan mereka dalam memperkukuh agenda pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat pada Majlis Pengiktirafan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Rakan Strategik KPWKM Berprestasi Cemerlang yang telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam ucapannya berkata NGO memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial negara dengan menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan. Mereka membantu menyuarakan aspirasi dan keperluan komuniti serta memastikan tiada golongan yang terpinggir melalui semangat kesukarelaan, kecekapan dan keikhlasan.

Sebanyak 35 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah membantu dan memainkan peranan dalam menjayakan pelbagai inisiatif Kementerian telah menerima sijil penghargaan pada majlis ini.

KPWKM menghargai sumbangan besar NGO dalam memperkukuh jaringan perlindungan sosial negara. NGO berperanan sebagai rakan strategik kementerian dalam melaksanakan inisiatif kesejahteraan masyarakat, termasuk memperkasa wanita, menjaga kebajikan kanak-kanak, warga emas, OKU dan golongan rentan.

KPWKM sentiasa komited dalam memperkukuh hubungan strategik dengan NGO melalui pelbagai bentuk kolaborasi terutamanya dalam pelaksanaan program-program pembangunan komuniti dan pemerkasaan wanita.