Helang Langkawi Bersinar Oren: Simbol Solidariti Hentikan Keganasan Terhadap Wanita

HELANG LANGKAWI BERSINAR OREN: SIMBOL SOLIDARITI HENTIKAN KEGANASAN TERHADAP WANITA

24 November 2025|Isnin

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, hari ini mengadakan lawatan kerja ke Langkawi Kedah dengan turut disertai oleh Pengurusan Tertinggi KPWKM. Lawatan ini adalah bersempena dengan penganjuran beberapa program oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) di daerah tersebut.

Menerusi lawatan kerja ini, YB Menteri akan turut menghadiri dan merasmikan Program Toleransi Sifar Keganasan (AAGS), mempengerusi Mesyuarat Majlis Wanita Keluarga dan Negara (MWKN) dan seterusnya melancarkan Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita Tahun 2025 (Elimination Of Violence Against Women (Evaw) pada sebelah malam di Dataran Lang, Langkawi.

Malam ini, YB Menteri telah menghadiri acara kemuncak iaitu pelancaran Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita Tahun 2025 di Dataran Lang, Langkawi. Ikon burung helang Langkawi yang merupakan simbol kekuatan dan kebanggaan negara akan diterangkan dengan nyalaan lampu oren sebagai gimik pelancaran.

Sambutan ini merupakan kali yang ke-17 diadakan sejak program sambutan EVAW diperkenalkan oleh KPWKM pada tahun 2009. Tarikh 25 November telah diiktiraf sebagai Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita melalui resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 2000.